Thursday, February 17, 2011

Jadikan Kritikan sebagai Penghormatan

Dalam hidup ini, kita tidak akan pernah lari dari kritikan-kritikan daripada orang lain. Ada sesetengah kritikan yang dapat menaikkan semangat dan ada juga yang melemahkan semangat kita.

Jika anda seseorang yang selalu memberi, memperbaiki dan berusaha untuk membangun, maka anda pasti sering mendengar kritikan-kritikan pedas dan pahit. Kadangkala, kita tidak cukup kuat untuk menahan segala kritikan-kritikan pedas ini. Seringkali kita menitiskan air mata akibat kata-kata dan cemuhan dari orang lain. Saya juga akui, sebagai seorang manusia yang lemah saya juga sering bersedih apabila mendapat kritikan dan cemuhan daripada orang lain.




Manusia tidak akan pernah diam untuk mengkritik kita sehinggalah kita masuk ke liang lahad. Biasalah, itu memang sifat manusia yang tidak suka melihat kesenangan orang lain. Mulut mereka tidak akan berhenti berkata-kata.

Pernahkah kita terfikir, selama kita hidup bersama-sama orang lain, pernahkah kita menghargai segala kebaikan yang mereka lakukan? Apa yang sering kita ingat adalah keburukan mereka. Oleh itu, cuba kita ubah sikap ini. Cuba kita fikirkan segala kebaikan yang mereka lakukan dan lupakan keburukan mereka. Dengan itu, kita akan lebih tenang dan bahagia.

Berbalik kepada sikap kritik mengkritik, sering kali apabila kita mengecapi kejayaan, pasti akan terdengar suara-suara sumbang dan tidak enak didengar. Perlu diingat, orang yang duduk di atas tanah tidak akan pernah jatuh dan manusia tidak akan menendang anjing yang mati. Mereka marah dan kesal kepada kita kerana kita mendahului mereka dalam kebaikan, keilmuan, tindak-tanduk atau harta.

Mereka tidak akan berpuas hati sehingga anda melepaskan segala kurnia dan nikmat yang Allah berikan kepada anda dan anda meninggalkan semua sifat terpuji dan nilai-nilai yang selama ini anda berpegang teguh.




Sesungguhnya, kita memang tidak mampu untuk menutup mulut setiap manusia di muka bumi ini. Apa yang kita mampu hanyalah menyimpan di dalam diri dan mendiamkan diri dengan segala kritikan-kritikan itu. Sikap mereka adalah seperti firman Allah:


"... matilah kamu dengan kemarahan kamu itu...." [Surah Ali Imran; 119]


Jadikanlah kritikan mereka sebagai satu penghormatan dan motivasi kepada diri kita untuk sentiasa maju ke hadapan serta untuk menjadi insan yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment